Tarik nafas dalam-dalam.. tahan.. lihat, bahagian badan mana yang
menggelembung, dada atau perut. Jika perut, tahniah, anda bernafas dengan
betul. Jika dada, ada yang kena perbetulkan. Majoriti manusia bernafas
menggunakan dada, maksudnya menyimpan udara yang disedut di bahagian dada
mereka. Kecuali pada posisi tertentu, contohnya semasa baring.
Seorang guru pernah beritahu saya, rasa marah manusia itu terletak di dalam
dada. Sebab itu bila seseorang dalam keadaan emosi, dadanya akan berombak-ombak
dan bernafas dengan cepat. Kanak-kanak merupakan golongan yang bernafas dengan betul, lihat bagaimana keadaan mereka semasa bernafas, hanya perut yang
bergerak. Tapi bila semakin dewasa, amalan itu bertukar selari dengan
persekitaran.
Bagi orang dewasa pula, amalan bernafas
dengan perut kerap atau boleh dikatakan wajib bagi sesetengah pihak yang mengamalkan
senaman tertentu seperti tenaga dalam, seni bela diri dan sebagainya.
Seorang pensyarah di Fakulti
Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya
Zulkifli Abd Kadir, berkata untuk bernafas dengan betul ada caranya iaitu tarik
nafas dalam-dalam hingga ke perut, iaitu perut akan ternaik sedikit dan bukan
dada. Jika dada yang ternaik, bermakna teknik anda masih belum betul. Pada masa
sama jika boleh, ‘kunci’ dubur (kemut) dan lepaskan nafas perlahan-lahan
melalui hidung.
Ada pihak yang percaya
amalan ‘kunci’ dubur (kemut) semasa menahan nafas boleh mengelak masalah
buasir.
Macam mana jika hendak
bernafas dengan betul? Pertama letakkan tapak tangan di perut, tarik nafas dan
pastikan perut anda menggelembung. Amalkan selalu. Dengan bernafas melalui
perut, kita boleh menahan nafas dengan lebih lama dan memberi peluang kepada
darah untuk memproses oksigen yang disedut.
Bagaimana Islam melihat
amalan ini, saya teringat suatu hadis Rasulullah mengenai bahagian perut.
Baginda bersabda terdapat tiga bahagian di dalam perut, satu bahagian untuk
makanan, satu bahagian untuk air, dan satu bahagian lagi dikosongkan (untuk
udara).
Sekarang pegang perut anda
di kiri atau kanan. Kalau ada rasa keras, usahakan untuk ke tandas. Kerana itu
bukan otot yang pejal. Tapi ada bahan buangan yang masih disimpan.
Betulkan nafas anda.