Rabu, 26 Disember 2012

Rahsia Alam : Buah Berbulu

Dunia ini penuh dengan keajaiban dan setiap perkara ajaib sering dilihat pelik oleh majoriti manusia.

Entah bagaimana dan kenapa, sebuah pokok bunga loceng di rumah saya yang ditanam oleh ayah telah mengeluarkan buah seakan rambutan. Bersaiz sederhana, berbulu, dan berwarna hijau muda. Asalnya kecil sebelum membesar seperti buah rambutan yang tidak masak.

Perkara ini menarik perhatian ramai orang setelah tersiar dalam Sinar Harian (2007) dan dikhabarkan ratusan orang telah datang ke rumah untuk melihat buah bunga loceng itu. Saya yang ketika itu berada di perantauan kerana menimba ilmu hanya dimaklumkan oleh emak melalui telefon.


Ramailah yang menyentuh dan mengesahkan itu adalah buah rambutan, lalu mengaitkan dengan pelbagai perkara dan teori. Saat saya pulang ke kampung, buah ‘rambutan’ tersebut sudah berwarna keperangan, kemudian menjadi coklat, dan akhirnya kering sebelum gugur ke tanah.

Hakikatnya, itu bukan buah rambutan. Cuma kebetulan pokok bunga loceng mengeluarkan buah, dan kebetulan lagi buah itu berbulu seperti buah rambutan. Apa pun saya tetap rasa bertuah kerana keluarga saya pernah memiliki sebahagian keajaiban alam semula jadi.

Beberapa hari kemudian ada yang bertanya kepada ayah sama ada masih disimpan buah yang kering itu, kononnya hendak dijadikan pelaris. Astaga.

Selasa, 11 Disember 2012

Kembara Amanah - Siri 1


Suasana subuh di kaki pergunungan Skurmum memang mengasikkan. Suhu yang sejuk ditambah dengan kabus yang masih lagi menyelimuti alam begitu mendamaikan. Kehijauan hutan saujana mata memandang malah dapat mengubati penyakit mata yang tidak kronikal.

Sesudah menunaikan solat Subuh, aku berzikir seketika sambil anak mataku liar memerhati keadaan sekeliling yang indah ciptaan Allah.

“Afik! Ini amanatku terhadapmu.” Tiba-tiba suara yang suatu ketika dahulu pernah berbicara, menerjah masuk ke dalam memori.

“Tapi guru, kenapa aku?” sebagai seorang anak murid aku tidak sepatutnya membantah perintah guruku tapi kali ini suruhannya agak memusykilkan dan di luar kemampuanku. Aku seorang penuntut peringkat akhir bawahan telah diperintahkan untuk menjalankan suatu misi. Misi yang cukup berbahaya.

“Menurut firasatku, kau adalah yang paling layak dan berkebolehan.”

“Firasat?” Aku tidak bersetuju. Adakah hanya mendengar firasat sudah cukup untuk mentauliahkan aku ke jurang maut?

“Kau takut?”

“Tidak!” Jawabku pantas. Aku memandang tepat mata guruku yang duduk di atas mimbar. Cis! Aku telah terperangkap oleh kata-kataku sendiri. Keterlajuran kata-kataku hanya memusnahkan diri.

“Jadi, apa yang kau tunggu lagi?”

Tiba-tiba khayalanku terhenti apabila seekor enggang terbang rendah, menjerit kerinangan. Aku menyimpan tasbih yang sejak tadi terus berjalan di jejariku. Semua barang-barang ku galas kembali.
Pedang yang terpacak tidak jauh dari tempat solatku tadi kucabut. Dengan kemas pedang itu kusisipkan ke pinggang. 

Bismillahirohmanirrohim!” Aku terus mengatur langkah.

Tidak lama lagi aku akan memasuki ruang gurun, zon yang menjadi destinasiku. Sambil mengatur langkah aku kembali mengingati segala amanat guruku.

“Kau pergi ke arah matahari terbit. Kau akan menghadapi tujuh dugaan nyata dan tujuh dugaan ghaib. Selepas enam unggun api kau akan menemui pasir. Di pasir itu kau akan menemui batu. Itu pun setelah kau berjaya melepasi dugaan ghaib yang terakhir. Di sana nanti kau akan dijarakkan oleh air api. Kau mesti memasuki batu itu dan meletakkan kitab hikmat ini di situ”.

“Di situ? Aku kehairanan.

“Di mana?”

“Kau akan mengetahuinya kelak.”

“Ingat! Pergunakan ilmu yang telah kau tuntut di sini sepenuhnya.”

Aku berhenti seketika. Peluh yang mengalir di dahiku kusapu dengan tangan. Memang kata-kata guruku penuh dengan muslihat, sehingga aku sendiri kurang faham. Tapi kini aku rasa aku sudah mula memahaminya.

Memang benar aku telah berdepan dengan dugaan, sehingga kini jika tidak salah tafsiranku, enam dugaan nyata dan enam dugaan ghaib telah kutempuhi.

Tiba-tiba firasatku memberitahu sesuatu. Tanganku lantas memegang erat pedang yang tersisip di pinggang. Mataku memerhati keadaan sekeliling. Normal. Tidak! Normal. Tidak! Hati dan firasatku seakan bertempur.

Tiba-tiba satu kejutan cahaya bertukar menjadi seekor harimau sebesar gajah berlalu pantas di hadapan mataku.


Subhanallah!” Aku melepaskan segala ketakjuban dan menghunus pedang ke arah makhluk itu. 
 Mungkin ghaib, aku tidak dapat menduga kerana ia hilang begitu saja.

Aku meraba pakaianku. Ternyata kitab itu masih ada tersimpan lagi. Harimau di hadapanku terlalu besar untuk seorang manusia. Penuntut senior sekalipun tidak mungkin dapat mengalahkan harimau ini. Inikan aku.

Harimau itu terus menerkam ke arahku setelah melepaskan ngauman yang amat kuat. Dengan sepenuh tenaga aku melompat bagi mengelakkan terkamannya. Dengan pantas kepala harimau itu kutetak.

Satu jeritan panjang disusuli dengan percikan api berlaku di hadapan mata. Pedangku patah.
Aku tercengang. Harimau itu bagaikan berkulit waja. Mataku melirik pada pedang yang patah di tanganku. Harimau itu mengaum kembali. Matanya memandang tepat ke arahku dengan pandangan yang penuh hasad.

Aku seperti dipukau, membiarkan harimau itu menerkam tanpa bertindak. Kakiku bagaikan dipegang oleh tangan ghaib.

Tujuh ayat pemusnah iblis segera kubaca. Tiba-tiba satu tendangan ghaib hingga di dadaku. Aku melontar jauh dari harimau tadi.

“Allah!...” Dadaku terasa sakit. Kugagahi diriku untuk bangun. Tanganku merab-raba pakaianku. Kitab sakti itu masih tersimpan. Pakaianku lusuh dan kotor setelah puas mengharungi rimba khatulistiwa. Aku bersila sambil bertafakur. Kedua belah telapak tangan kugenggam untuk memusatkan kembali tenaga yang sudah hilang tadi.

bersambung…

* Cereka di atas dipetik daripada novel bertajuk Sebuah Citra karya Jaafar Darwis, terbitan Kharisma Publications Sdn. Bhd. (1995).

Sabtu, 10 November 2012

Mengawal Cuaca

Selepas berlakunya peristiwa 11 September 2001 di Amerika Syarikat, perkataan “konspirasi” semakin hangat diperkatakan. Di negara ini, istilah konspirasi dipopularkan oleh penulis blog yang mendedahkan perancangan kelompok-kelompok sulit yang ada di seluruh dunia termasuk Malaysia. 


Antara konspirasi yang kerap diperkatakan ialah “Kawalan Cuaca” dan dikaitkan dengan teknologi yang dimiliki tentera Amerika. Teknologi ini dikenali sebagai HAARP ( High Frequency Active Auroral Research Program ) yang berupaya mempengaruhi gelombang elektromagnet bumi yang kemudian menghasilkan kekacauan cuaca. Contohnya gempa bumi, dengan memilih lokasi tertentu HAARP akan memancarkan gelombang pada frekuensi tertentu dan gempa bumi akan terhasil di tempat yang dipilih. Dalam erti kata lain, HAARP boleh menjadi suatu senjata berbahaya dengan memanipulasi alam.

Secara asasnya usaha mengawal cuaca merupakan suatu perkara yang tidak asing lagi dalam dunia meteorologi. Contohnya pembenihan awan untuk mendapatkan hujan. Kaedah pembenihan awan biasanya dibuat menggunakan kapal terbang seperti negara kita, di negara China mereka menggunakan roket.

 Idea kawalan cuaca sebenarnya telah wujud sejak tahun 1954 lagi. Dalam majalah Coolier’s pada 24 Mei ada mengutarakan isu mengenai keupayaan manusia (USA) untuk mengawal cuaca. Turut dipetik kata-kata Kapten H.T. Orville mengenai laporan stesen kawalan cuaca di Texas berkenaan fenomena pembentukan awan yang akan membentuk tornado yang menghala ke arah Waco. Pusat Kawalan Cuaca yang dimaklumkan kemudiannya menghantar sebuah pesawat untuk melenyapkan awan. Kurang dari sejam selepas itu, serangan taufan berjaya dihalang dan tiada nyawa atau kerosakan harta benda berlaku.

Sumber:  http://blogs.smithsonianmag.com/paleofuture/

Ironinya hingga awal abad 21, Amerika Syarikat menerima ribuan serangan taufan dan telah merosakkan harta benda hingga membawa kerugian berbillion dollar. Kejadian serangan taufan Sandy di New York dikatakan telah memberi peluang kepada kempen Presiden Barack Obama hingga membawa kepada kemenangan pilihan raya presiden untuk penggal kedua.

Pada tahun akhir pengajian di universiti, saya mengambil kesempatan untuk bertanyakan soalan kepada pensyarah tentang kemungkinan wujudnya teknologi kawalan cuaca yang hebat seperti HAARP. Beliau berpendapat ia suatu yang sukar. Untuk memindahkan hujan contohnya dari titik A ke titik B dilihat mustahil. Malah mungkin manusia tidak akan memilikinya. Namun beliau tidak menolak wujudnya usaha beberapa pihak ke arah itu, kerana imaginasi manusia begitu tinggi dan ada segelintir cuba merealisasikannya.

Ahad, 28 Oktober 2012

Surat Yang Dikoyak

Petikan Filem The Message

Setelah berjaya membentuk kerajaan Islam yang pertama di Madinah pada tahun 622 Masihi. Nabi Muhammad S.A.W telah mengambil inisiatif dengan menghantar warkah kepada para pemimpin kerajaan-kerajaan yang ada pada ketika itu, antaranya ke Rom, Rom Timur (Byzantine), Parsi, dan Mesir.

Tujuan Baginda untuk menyeru mereka kepada Islam. Cara penghantaran perutusan dilihat lebih diplomasi dan tiada paksaan.

Pada awalnya warkah Rasulullah tidak mempunyai ‘sign’, hingga ada warkah yang tidak dilayan oleh para pemimpin ketika itu. Ini kerana telah menjadi kewajaran kepada mereka untuk memiliki cop mohor tersendiri pada suatu perutusan barulah ia diperakui kesahannya. Akhirnya seorang sahabat diminta membentuk cincin yang tertulis nama Baginda. Cincin itu berfungsi sebagai cop mohor setiap kali Rasulullah menghantar warkah.

Pada saat itu Raja Qibti Mesir, al-Muqauqis telah menyambut baik warkah Baginda namun dakwah Islamiah tidak dilayan olehnya. Maharaja Byzantine, Hercules pula telah memanggil para pembesar untuk membincangkan mengenai warkah Rasulullah. Berbeza dengan Raja Parsi yang bukan saja menolak dakwah Islam, malah mengoyak-ngoyak warkah Nabi Muhammad. Antara sebabnya nama Rasulullah dinyatakan terlebih dahulu sebelum namanya.

Rasulullah yang mendapat tahu tentang perlakuan Raja Parsi kemudiannya mendoakan supaya kerajaan raja tersebut dikoyak-koyak seperti warkah Baginda. Doa itu akhirnya tertunai pada zaman pemerintahan Khalifah Umar.


Mengambil amalan Rasulullah yang mempunyai cop mohor di samping memelihara warisan kesenian ukiran khat Jawi, saya menempah suatu cop mohor yang terukir nama penuh dalam tulisan Rumi dan Jawi dari Yayasan Restu (Restu Khat). Terdapat pelbagai rekaan yang boleh dipilih mengikut kesesuaian, setiap pemilik akan menerima warkah pengesahan ketulenan bersama nombor siri. Mereka boleh dihubungi melalui link di bawah.

Restu Khat (klik)