Suasana
subuh di kaki pergunungan Skurmum memang mengasikkan. Suhu yang sejuk ditambah
dengan kabus yang masih lagi menyelimuti alam begitu mendamaikan. Kehijauan
hutan saujana mata memandang malah dapat mengubati penyakit mata yang tidak kronikal.
Sesudah
menunaikan solat Subuh, aku berzikir seketika sambil anak mataku liar memerhati
keadaan sekeliling yang indah ciptaan Allah.
“Afik!
Ini amanatku terhadapmu.” Tiba-tiba suara yang suatu ketika dahulu pernah
berbicara, menerjah masuk ke dalam memori.
“Tapi
guru, kenapa aku?” sebagai seorang anak murid aku tidak sepatutnya membantah
perintah guruku tapi kali ini suruhannya agak memusykilkan dan di luar
kemampuanku. Aku seorang penuntut peringkat akhir bawahan telah diperintahkan
untuk menjalankan suatu misi. Misi yang cukup berbahaya.
“Menurut
firasatku, kau adalah yang paling layak dan berkebolehan.”
“Firasat?”
Aku tidak bersetuju. Adakah hanya mendengar firasat sudah cukup untuk
mentauliahkan aku ke jurang maut?
“Kau
takut?”
“Tidak!”
Jawabku pantas. Aku memandang tepat mata guruku yang duduk di atas mimbar. Cis!
Aku telah terperangkap oleh kata-kataku sendiri. Keterlajuran kata-kataku hanya
memusnahkan diri.
“Jadi,
apa yang kau tunggu lagi?”
Tiba-tiba
khayalanku terhenti apabila seekor enggang terbang rendah, menjerit kerinangan.
Aku menyimpan tasbih yang sejak tadi terus berjalan di jejariku. Semua
barang-barang ku galas kembali.
Pedang
yang terpacak tidak jauh dari tempat solatku tadi kucabut. Dengan kemas pedang
itu kusisipkan ke pinggang.
“Bismillahirohmanirrohim!”
Aku terus mengatur langkah.
Tidak
lama lagi aku akan memasuki ruang gurun, zon yang menjadi destinasiku. Sambil
mengatur langkah aku kembali mengingati segala amanat guruku.
“Kau
pergi ke arah matahari terbit. Kau akan menghadapi tujuh dugaan nyata dan tujuh
dugaan ghaib. Selepas enam unggun api kau akan menemui pasir. Di pasir itu kau
akan menemui batu. Itu pun setelah kau berjaya melepasi dugaan ghaib yang
terakhir. Di sana nanti kau akan dijarakkan oleh air api. Kau mesti memasuki
batu itu dan meletakkan kitab hikmat ini di situ”.
“Di
situ? Aku kehairanan.
“Di
mana?”
“Kau
akan mengetahuinya kelak.”
“Ingat!
Pergunakan ilmu yang telah kau tuntut di sini sepenuhnya.”
Aku
berhenti seketika. Peluh yang mengalir di dahiku kusapu dengan tangan. Memang
kata-kata guruku penuh dengan muslihat, sehingga aku sendiri kurang faham. Tapi
kini aku rasa aku sudah mula memahaminya.
Memang
benar aku telah berdepan dengan dugaan, sehingga kini jika tidak salah
tafsiranku, enam dugaan nyata dan enam dugaan ghaib telah kutempuhi.
Tiba-tiba
firasatku memberitahu sesuatu. Tanganku lantas memegang erat pedang yang
tersisip di pinggang. Mataku memerhati keadaan sekeliling. Normal. Tidak!
Normal. Tidak! Hati dan firasatku seakan bertempur.
Tiba-tiba
satu kejutan cahaya bertukar menjadi seekor harimau sebesar gajah berlalu
pantas di hadapan mataku.
“Subhanallah!” Aku melepaskan segala
ketakjuban dan menghunus pedang ke arah makhluk itu.
Mungkin ghaib, aku tidak
dapat menduga kerana ia hilang begitu saja.
Aku
meraba pakaianku. Ternyata kitab itu masih ada tersimpan lagi. Harimau di
hadapanku terlalu besar untuk seorang manusia. Penuntut senior sekalipun tidak
mungkin dapat mengalahkan harimau ini. Inikan aku.
Harimau
itu terus menerkam ke arahku setelah melepaskan ngauman yang amat kuat. Dengan
sepenuh tenaga aku melompat bagi mengelakkan terkamannya. Dengan pantas kepala
harimau itu kutetak.
Satu
jeritan panjang disusuli dengan percikan api berlaku di hadapan mata. Pedangku
patah.
Aku
tercengang. Harimau itu bagaikan berkulit waja. Mataku melirik pada pedang yang
patah di tanganku. Harimau itu mengaum kembali. Matanya memandang tepat ke
arahku dengan pandangan yang penuh hasad.
Aku
seperti dipukau, membiarkan harimau itu menerkam tanpa bertindak. Kakiku
bagaikan dipegang oleh tangan ghaib.
Tujuh
ayat pemusnah iblis segera kubaca. Tiba-tiba satu tendangan ghaib hingga di
dadaku. Aku melontar jauh dari harimau tadi.
“Allah!...”
Dadaku terasa sakit. Kugagahi diriku untuk bangun. Tanganku merab-raba
pakaianku. Kitab sakti itu masih tersimpan. Pakaianku lusuh dan kotor setelah
puas mengharungi rimba khatulistiwa. Aku bersila sambil bertafakur. Kedua belah
telapak tangan kugenggam untuk memusatkan kembali tenaga yang sudah hilang
tadi.
bersambung…
* Cereka di atas dipetik daripada novel bertajuk Sebuah Citra karya Jaafar Darwis, terbitan Kharisma Publications Sdn. Bhd. (1995).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan