Setiap bangsa mempunyai identiti yang melambangkan
kehebatan mereka. Bangsa Cina terkenal kerana bilangan mereka yang begitu ramai
dan berada di hampir setiap negara selain gemar berniaga. Berbeza dengan bangsa
Yahudi yang terkenal dengan kehebatan mereka memungkiri janji dan pembunuh para
nabi.
Apa pula hebatnya bangsa Melayu?
Bahasa
dan tulisan
Bangsa Melayu mempunyai sistem penulisan yang unik
kerana menggunakan banyak tulisan sepanjang kewujudan mereka, antaranya
Rencong, Aksara, Jawi, Kawi, Rumi. Bahasa Melayu pada suatu ketika pernah
berfungsi sebagai bahasa perantara para pedagang seluruh dunia. Bangsa Melayu
juga mempunyai kehebatannya yang tersendiri, kajian alternatif menunjukkan
tulisan purba orang Melayu iaitu Rencong setaraf dengan tulisan Phoenicia dan
Aramaik yang berada dalam kelas utama Proto-Canaanite (di bawah kelas Egyptian
Hieroglyphs). Dalam erti kata lain tulisan dan bahasa Melayu mempunyai
perkaitan dengan bahasa Mesir Purba ribuan tahun dahulu.
Maka timbullah cerita mengenai darah naga (ular besar)
dan Tanah Punt, iaitu tanah nenek moyang para firaun. Mengikut catatan,
masyarakat Mesir Purba telah berhubung dengan Tanah Punt sejak Dinasti Kelima
lagi pada pemerintahan Firaun Sahure (2500 SM), tapi ekspedisi yang paling
terkenal pada zaman Ratu Hatshepsut (1500 SM). Menariknya gelaran raja dan
permaisuri Punt pada waktu tersebut ialah Raja Perehu dan Permaisuri Ati.
Produk utama Punt pula ialah emas yang diimport oleh Mesir Purba sejak awal
tamadun mereka.
Bahasa Melayu terkenal dengan kehalusannya, kata-kata
nasihat dan teguran kerap diucap melalui sindiran, pantun dan peribahasa. Biduk lalu, kiambang bertaut… Berguru
kepalang ajar, bagai bunga kembang tak jadi…
Begitu pandai orang dahulu menyusun kata agar tidak
ada yang terasa. Unsur alam kerap digunakan sebagai perumpamaan. Antara filem
Melayu lama yang paling menarik bagi saya ialah filem Sultan Mahmud Mangkat
Dijulang, lakonan Nordin Ahmad. Dialog Bendahara contohnya begitu halus ketika
berkata-kata, diselitkan dengan pantun terutama ketika memberi nasihat kepada
Laksamana Bentan yang ingin membunuh sultan.
Bahasa Melayu bukan saja dituturkan di Nusantara, tapi
turut digunakan di beberapa bahagian dunia. Mungkin kerana minat bangsa Melayu
dalam bidang pelayaran menyebabkan penyebaran bahasa ini. Jangan terkejut jika
pengaruh bahasa Melayu juga boleh dikesan hingga ke Amerika Selatan. Kaum Maya
contohnya, terdapat beberapa perkataan dalam bahasa Maya ada persamaan dengan
bahasa Melayu. Saya ada terbaca dalam sebuah jurnal tulisan Edward Tregear
mengenai persamaan tersebut. Terdapat perkataan yang mempunyai sebutan dan
makna yang langsung sama, contohnya tanah. Saya senaraikan 15 perkataan Maya
yang paling hampir dengan bahasa Melayu dari segi sebutan dan maknanya.
Perkataan
yang bertanda bintang ( * ) merupakan kata yang mungkin penulis terlepas
pandang dan tidak diulas di dalam jurnalnya, tapi saya lihat ada persamaan
dengan kata dalam bahasa Melayu. Sebenarnya ada lebih banyak persamaan
perkataan Maya dengan bahasa kelompok Austronesia, sedikit Sanskrit dan Arab.
Ada dua kesimpulan dari persamaan ini, pertama kaum Maya pernah berinteraksi
dengan bangsa Melayu dan kedua bangsa Maya itu adalah Melayu (Austronesia).
Kedatangan Melayu ke benua Amerika mungkin berlaku ribuan tahun yang lalu.
Kesenian
dan Kesusasteraan
Hebatnya Melayu boleh dilihat pada hasil seni dan
sasteranya. Bangsa yang penuh kehalusan, kelembutan dan ketelitian. Seni ukir,
menganyam, menyulam, menconteng batik, menenun songket. Pantun, syair, seloka,
peribahasa, gurindam, cerita rakyat. Wayang kulit, menora, mak yong,
tari-menari.
Terlalu banyak yang hendak ditulis. Walaupun hasil
sastera zaman dahulu yang ada pada kita hari ini amat terhad, namun saya yakin
pada masa lampau masyarakat Melayu telah membangunkan suatu sistem
kesusasteraan yang unggul, hingga menarik minat para penjajah untuk merompak
penulisan nenek moyang kita. Hasil sastera orang Melayu juga mempunyai format
penyampaiannya yang tersendiri, contoh yang paling kerap ditemukan ialah
perlambangan.
Lihat saja pantun, peribahasa, dan cerita rakyat yang
penuh dengan unsur ini. Contohnya apabila ingin menceritakan daulat raja akan
dikait dengan darah putih dan bermulut masin. Saya berpendapat darah putih itu
merujuk kepada asal-usul keturunan raja-raja Melayu yang berasal dari golongan
terhormat, seperti pendeta agama contohnya. Lihat pula kisah Naga Tasik Chini,
ada menceritakan pertarungan antara naga, Sri Pahang, Sri Gumum dan Sri
Kemboja. Naga di sini bukanlah seperti dalam filem. Tapi mungkin merujuk kepada
peperangan antara raja-raja Melayu purba yang begitu berkuasa, mungkin berebut
kuasa atau kerana cinta. Namun tidak saya nafikan kemungkinan wujud haiwan
panjang bersaiz besar yang dianggap sebagai naga.
Apa yang pasti orang Melayu cukup berminat dengan hasil
seni hingga hampir semua perkara di sekitar mereka pasti ada sentuhan ukiran,
lukisan, dan pahatan. Lihat saja pada kain batik, tepak sireh, keris, pengukur
kelapa, perahu, rumah. Kebiasaannya bermotifkan bunga-bunga dan awan larat.
Anda boleh lihat contoh gambar masyarakat Kelantan pada zaman dahulu, mereka
hanya berkain pelekat dan tidak berbaju. Tapi lihat keris di sisi mereka,
hulunya berukir kemas, dapat dilihat walaupun dari jauh. Jika berpeluang
melawat rumah mereka ketika itu, saya yakin pasti ada ukiran halus di suatu
sudut, paling tidak corak tapak manggis atau bunga-bunga ringkas.
Perhatikan pembuatan keris, hasil seni bangsa Melayu
yang bertaraf world first class.
Ketika bangsa lain bangga dengan hiasan permata pada hulu pedang dan bilah yang
berkilat, bangsa Melayu pula menikmati garisan urat pada pamor di mata keris.
Mereka sanggup bersengkang mata untuk mengukir hulu keris yang tidak sampai
empat inci panjangnya dengan pelbagai corak. Lain bentuk hulunya, lainlah tanah
asalnya. Orang Melayu telah membina struktur mata keris yang begitu kompleks,
ada lebih kurang 20 bahagian pada mata
keris yang mempunyai nama dan fungsinya sendiri. Itu tidak termasuk perhiasan
tambahan pada hulu dan sarung keris. Untuk apa nenek moyang kita buat semua
ini, apa yang ingin sampaikan pada anak cucu mereka? Inilah warisan Melayu,
pusaka yang tidak ternilai.
Perubatan
Penggunaan herba, rempah ratus dan pelbagai tumbuhan
hutan tidak asing lagi dalam kalangan bangsa Melayu. Setiap tumbuhan berjaya
dikenal pasti fungsinya dan bahagian mana yang perlu digunakan. Pokok Tongkat
Ali contohnya, akarnya digunakan untuk mengembalikan tenaga dan kerap digunakan
oleh kaum lelaki. Berbeza dengan mas cotek, daunnya digunakan untuk merawat
masalah saraf dan sesuai untuk wanita.
Cuba fikirkan, bagaimana nenek moyang kita tahu
bahagian mana pada tumbuhan yang perlu diambil untuk merawat penyakit tertentu.
Kenapa pokok tongkat ali hanya akarnya diambil untuk memulihkan tenaga, kenapa
tidak daunnya? Kenapa kulit buah manggis digunakan untuk merawat dan
mencantikkan kulit, kenapa tidak akarnya? Kenapa?
Imaginasi saya membayangkan orang Melayu
dahulu mempunyai ‘makmal’ sendiri untuk mengkaji fungsi setiap tumbuhan di
sekitar mereka. Hidup dikelilingi hutan hujan yang tebal membekalkan banyak
sumber herba untuk dikaji. Mungkin kajian pada masa itu dibiayai oleh maharaja,
kemudian hasil kajian herba mereka dibukukan dan disimpan dalam perpustakaan
diraja. Beberapa salinan di buat dan disebarkan ke sekolah setiap wilayah untuk
diajar kepada masyarakat.
Lain halnya rawatan yang menggunakan kaedah spiritual,
bacaan pelbagai mantera dan jampi telah digunakan untuk sejak sekian lama. Ada
juga kaedah rawatan yang memerlukan ritual tertentu seperti nyanyian dan tarian
(mak yong, ulek mayang). Dari apa yang saya faham, nyanyian atau ayat yang
dialunkan berfungsi untuk membangkitkan self
healing dari diri pesakit. Namun tidak dinafikan terdapat sesetengah
rawatan melibatkan aspek pemujaan dan seruan terhadap kuasa-kuasa ghaib seperti
mambang, jembalang dan sebagainya.
Pelayaran
Walaupun Melayu dikaitkan dengan gunung, tapi Melayu
juga rapat dengan laut. Ilmu pelayaran bangsa Melayu tidak boleh dinafikan,
hingga maharaja Melayu Srivijaya pernah digelar penguasa seluruh kepulauan
(Nusantara). Berpandukan buruj di langit dan peralatan maritim, nenek moyang
kita berupaya belayar ke segenap benua. Pelayar Melayu juga telah sampai ke
tanah-tanah yang jauh dan membina penempatan, contohnya kepulauan Hawaii,
Samoa, Madagaskar, dan sebagainya. Semua ini dapat dibuktikan melalui beberapa
persamaan.
Jadi tidak hairan jika ada pengkaji Barat yang
menggelar bangsa Melayu sebagai Phoenicia Timur. Bangsa Phoenicia terkenal
dalam ilmu kelautan hingga berupaya membina pulau buatan sekitar pelabuhan
mereka untuk mengawal perairan. Anehnya tulisan Rencong orang Melayu mempunyai
bentuk hampir sama dengan tulisan orang Phoenicia.
Minat orang Melayu terhadap laut membawa kepada
pembinaan pelbagai jenis pengangkutan air. Perahu, sampan, biduk, dan kapal
yang bermacam jenis, bentuk dan saiz. Mungkin keadaan geografi yang dikelilingi
laut dan berada di laluan perdagangan dunia telah membawa kepada pembangunan
kemahiran ini. Pengurusan dalam ilmu maritim yang teratur dapat dilihat pada
zaman kesultanan Melaka dengan wujudnya Undang-undang Laut Melaka. Jika hanya
puluhan buah kapal yang berada di pelabuhan, mana mungkin sultan Melaka
terfikir untuk merangka undang-undang laut.
Persilatan
dan senjata
Tidak dapat dipastikan dengan tepat bila seni persilatan
bermula, tapi usianya tersangat lama. Saya yakin silat telah wujud seusia
dengan kewujudan bangsa Melayu itu sendiri. Dalam silat ada seni tari yang
halus, bunga sembah, jurus, buah pukul. Sehingga kini terdapat ribuan jenis
silat yang wujud dalam alam Melayu. Dari selembut Silat Pulut hinggalah sekeras
Cekak. Ada yang berjurus bagai helang ada pula berpencak seperti teratai.
Hinggakan ada orang Barat yang begitu mengagumi seni silat ini dan sanggup
mempelajarinya melebihi orang Melayu.
Ilmu persilatan juga tidak lekang dari sisi ghaib.
Amalan kebatinan seperti ilmu nafas dan bacaan ayat tertentu memantapkan lagi
suatu seni silat. Namun bagai mengikut resmi padi, makin berisi makin menunduk.
Orang Melayu tidak gemar mempamerkan ‘diri’ sehinggalah hak mereka diusik.
Seni bermain senjata juga tidak boleh dipisahkan dari
bangsa Melayu. Keris, tumbok lada, badek, lawi ayam, parang lading, kapak kecil
dan banyak lagi. Seolah-olah orang Melayu ini amat gemar bereksperimen dengan
senjata. Keris merupakan senjata yang sering dikaitkan dengan alam persilatan.
Kewujudan juga tidak dapat dipastikan dengan tepat, ada segelintir yang
berpendapat pembuatan keris mempunyai pengaruh ular. Hulunya seakan kepala ular
tedung yang sedang mengembang, mata keris yang berlok bagai badan ular yang
sedang menyusur di atas tanah.
Penciptaan keris juga melibatkan pemilihan besi-besi
tertentu dan wajib dalam bilangan ganjil (minimum 7 jenis besi). Pemakaian
keris juga boleh dikatakan wajib bagi setiap lelaki Melayu suatu masa dahulu,
hingga mereka berasa bagai berbogel jika tidak berkeris.
“ Tuan, inilah
pusaka raja-raja Melayu yang tidak boleh tidak. Adapun jikalau tidak bersenjata
ini seperti orang yang tidak berpakaian rasanya.” (Sultan Husain)
Bukannya ingin menunjuk hebat atau menakutkan orang,
tapi orang Melayu berasa bangga menyisip keris di pinggang mereka. Sebagaimana
bangganya mereka memakai tanjak atau tengkolok seperti ular yang ingin mematuk.
Terdapat juga adap-adap dalam pemakaian keris, di hadapan sultan contohnya hulu
keris perlu dihadapkan ke bahagian dalam. Keris juga dibelai bagaikan isteri
muda, pada waktu-waktu tertentu keris akan dimandi kemudian diasap dengan
kemenyan. Penggunaan bara api dan kemenyan asalnya untuk memastikan liang-liang
halus keris yang terkena air dapat dikeringkan selain berfungsi untuk
mencantikkan lagi besi keris dan bertindak sebagai pewangi.
Selari dengan peredaran zaman, bangsa Melayu tidak
ketinggalan menggunakan senjata api seperti terakol, istinggar, dan pemuras.
Penggunaan meriam pelbagai saiz dan bentuk juga tidak asing bagi orang Melayu. Malah
nenek moyang kita telah membuat inovasi dengan mencipta meriam kecil yang boleh
dibawa di atas bahu seakan bazuka yang digelar lela rentaka. Kehadiran meriam
begitu rapat dengan Melayu hingga ada peribahasa mengenainya. Kalau tidak
berlela baiklah berela-rela.
Kedudukan di tengah-tengah jalan perdagangan
membolehkan mereka mendapat maklumat yang baru tentang perkembangan
senjata-senjata pada masa itu. Ini baru senjata-senjata yang berjaya pencinta
sejarah Melayu temukan, mungkin ada banyak lagi senarai senjata yang pernah
kita miliki atau sedang dibangunkan sebelum datangnya penjajah.
Metafizik
Pengkaji Barat (Patrick Flanagan) ada membuat kajian
mengenai kuasa pada piramid, mereka mendapati apa saja makanan, air, atau buah
yang diletakkan di bawah binaan piramid atau seperti piramid (kon) akan
bertahan dengan lebih lama. Biji benih pula menjadi lebih subur jika diletak di
bawah piramid sebelum ditanam. Masyarakat Melayu dahulu telah memahami perkara
ini lebih lama dan menggunakan cara ini dalam kehidupan seharian. Buktinya,
cuba lihat bentuk saji makanan orang Melayu dari tikar mengkuang. Bentuknya
kon. Seakan piramid. Orang Melayu telah mengetahui kuasa piramid, cuma tidak
diterangkan kepada anak cucu.
Lihat pula apabila ada yang terkena sakit beguk
(bengkak di leher). Ubatnya ialah nila. Nila yang dicampur cuka akan diletak
pada tempat beguk hingga sembuh. Cuba fikir, kenapa nila yang berwarna biru
menjadi pilihan? Kenapa tidak pandan yang berwarna hijau, atau kunyit, atau
daun inai. Sedangkan pandan, kunyit, dan inai lebih senang diperoleh berbanding
nila.
Dalam pengajian ilmu aura, tubuh manusia ada tujuh
warna aura yang dipancarkan oleh tujuh cakra atau titik tenaga pada badan
(ubun-ubun, dahi, leher, dada, perut, kemaluan, dan hujung dasar tulang
belakang). Warna aura sama seperti warna pelangi.
Kedudukan warna biru berada di leher. Warna yang sama
dengan nila. Warna aura pada tubuh manusia dapat dilihat dengan mata kasar
apabila terciptanya kamera Kirlian pada abad ke-20 ciptaan saintis Rusia. Tapi
bangsa Melayu sudah tahu warna aura dan lokasi yang tepat sejak sekian lama.
Hebat. Cuba fikir kenapa inai dipakai di hujung jari.
Itu belum masuk bab mandi bunga. Orang Melayu cukup
terkenal dengan amalan mandi bunga untuk menaikkan seri wajah, kebiasaannya
melibatkan bunga yang berlainan jenis dan warna. Mengikut kajian berkaitan
gelombang getaran warna, air sejuk merupakan suatu medium yang paling sesuai
untuk merakam tenaga getaran warna dan boleh merawat pelbagai penyakit. Idea
ini telah menjadi asas kepada rawatan mandian ais dan aromaterapi pada hari
ini.
Tapi orang Melayu zaman dahulu telah memahami perkara
ini dan mempraktikkannya sejak sekian lama. Amalan mandi bunga biasanya dibuat
pada waktu malam, lagi ‘power’ lepas tengah malam. Kerana persekitaran yang
sejuk ditambah pula dengan air dari perigi menjadikan air mandian lebih sejuk
dan berupaya merakam tenaga warna dari bunga. Bacaan doa dan jampi tertentu
pada air menjadikan ritual mandian lebih lengkap.
Malah masyarakat Melayu boleh dikatakan paling banyak
terlibat dengan penggunaan kuasa ghaib. Santau, sentet, pasang susuk, pukau,
pengasih. Amalan kebatinan tahap tinggi yang ada kalanya melibatkan jin
membolehkan orang Melayu menjadi kebal, terbang, jurus jarak jauh, keluarkan
roh dari jasad, ghaib, dan banyak lagi.
Ingin ditegaskan. Bukan saya ingin membanggakan sisi
gelap dan negatif dalam amalan orang Melayu, tidak sama sekali. Tapi ingin
tunjukkan betapa berminatnya bangsa Melayu terhadap perkara ghaib di luar ilmu
sains dan logik akal. Malangnya minat mereka telah diambil kesempatan oleh para
jin dan syaitan untuk disesatkan. Hinggalah Islam datang untuk memulihkan
semula amalan orang Melayu yang telah terpesong.
Agama
Tidak keterlaluan dikatakan bangsa Melayu merupakan
bangsa yang paling banyak menukar agama mereka. Dipercayai fahaman terawal yang
dianuti oleh bangsa Melayu adalah animisme atau kepercayaan kepada kuasa alam.
Kemudian tiba pengaruh agama Hindu dan bangsa Melayu beramai-ramai menganuti
agama ini untuk suatu tempoh yang sangat lama. Datang pula agama Buddha dan
bangsa ini sekali lagi menukar agama mereka, hinggakan bangsa Melayu menjadi
penyebar penting kepada agama ini.
Sebab itu, bila dibincangkan agama Buddha dan Melayu,
tidak boleh tidak perlu juga menyentuh seorang sami Buddha, Dharmakirti.
Seorang Melayu, tepatnya berada di Sumatera pada era Srivijaya. Penghayatan
beliau begitu tinggi dalam fahaman Buddha hingga Atisa dari Tibet datang
menuntut dengannya. Sehinggalah datangnya agama suci Islam. Orang Melayu sekali
beramai-ramai memeluk Islam dan menghayati agama ini dengan dalam, melebihi
ajaran Hindu dan Buddha. Banyak kitab-kitab agama yang dihasilkan dan berjaya
melahirkan ramai ulama, mufti, dan bijak pandai agama.
Datang pula agama Kristian, ajaran ini dibawa oleh
Portugis, Belanda, Sepanyol, dan British. Ramai saudara sebangsa di Filipina
tumbang Islamnya, dibaptiskan oleh Sepanyol. Indonesia, walaupun Islam itu ada,
tapi masih dibayangi oleh racun sekular. Tapi kita di Tanah Melayu pada era
kolonial, Portugis, Belanda, dan British cuba menyebar ajaran Kristian. Kita
masih bertahan, usaha penterjemahan Bible ke Bahasa Melayu juga gagal
mengkristiankan Melayu secara total.
Hebat Melayu bukan hanya pada bahasanya, bukan hanya
pada seninya, bukan juga pada persilatannya. Tapi kehebatan Melayu itu pada
spiritual. Bangsa spiritual. Selain bangsa Arab dan Turki yang pernah kuat
pengaruh Islamnya, orang Melayu merupakan bangsa ketiga. Kini bangsa Arab sudah
tidak bersatu, Turki pula sangat tebal dengan sekular lebih dari Barat. Melayu
kita?
Sehingga artikel ini ditulis, kuasa bangsa Melayu di
Malaysia telah dipecahkan kepada tiga entiti. Walaupun perpecahan itu tidaklah
sebesar di Timur Tengah, tapi agak membimbangkan. Lebih-lebih lagi ada pihak yang
bertepuk tangan. Semuanya kerana politik. Nampaknya kuasa politik lebih hebat
daripada apa juga usaha selama beratus tahun penjajah untuk merosakkan Melayu.
Apa lagi yang dikejar?