Isnin, 12 April 2010

..tera,giga,mega…nano..

Sejak turunnya nabi Adam ke bumi, ilmu matematik telahpun wujud. Peredaran zaman memperlihatkan kemajuan dalam bidang pernomboran yang semakin kompleks, lebih-lebih lagi apabila komputer telah dicipta.

Bagi memudahkan pemahaman terhadap pengiraan sesuatu perkara, satu unit telah dicipta. Kita mungkin pernah mendengar istilah nano,desi,kilo,mega,giga,tera, dan sebagainya. Semua ini unit ukuran dalam menyukat saiz atau kuantiti sesuatu perkara. Sejak akhir-akhir istilah teknologi nano semakin kerap digunakan. Nano merupakan satu unit yang digunakan untuk menggambarkan saiz satu objek yang sangat kecil (10 kuasa negatif 9). Dalam bahasa mudah, 1 nano boleh dinisbahkan dengan 100 ribu kali lebih kecil daripada sehelai rambut. Bayangkan jika wujud robot bersaiz nano yang boleh melekat pada bulu kening tanpa kita sedar atau boleh bergerak dalam saluran darah untuk bertindak sebagai ‘askar’ bagi melawan virus-virus merbahaya, hebat bukan.

Tera pula merupakan satu istilah yang boleh dinilaikan 10 kuasa 12, dengan kata lain ada 12 sifar di belakang sesuatu tera. Contohnya 1 tera = 1 000 000 000 000 = 1 juta juta. Dalam istilah seharian, tera seerti dengan trillion, giga (10 kuasa 9) = billion, mega (10 kuasa 6) = million (juta). Tapi adakah kita sedar bahawa disiplin fizik dan matematik telah menyenaraikan beberapa lagi istilah yang jarang kita dengar dan gunakan. Contohnya seperti dibawah:


Sumber:http://searchstorage.techtarget.com/


Unit kilo, mega, dan giga sudah tidak asing lagi dalam kehidupan seharian kita. Unit-unit ini biasanya digunakan untuk merujuk kepada nilai matawang, memori komputer, jarak, dan sebagainya. Namun, unit seperti yotta dan zetta tidak pernah atau jarang digunakan kerana terlampau tinggi. Sebaliknya unit ini digunakan oleh para astronomi untuk menganggar jumlah bintang atau galaksi yang wujud di alam semester.

Zetta bukanlah unit yang paling tinggi dalam senarai, ini kerana selagi ilmu hisab berkembang, selagi itulah akan wujud unit-unit yang baru, sama ada semakin kecil atau semakin besar.

Sabtu, 3 April 2010

Kilang Coca-Cola di Malaysia. Impaknya.. (Bahagian 1)

Pada 16 Mac 2010 lalu, Perdana Menteri telah melakukan pecah tanah untuk pembinaan kilang Coca-cola terbesar di ASEAN yang bernilai RM1 billion. Kilang pembotolan yang dibina di bandar Enstek, Nilai itu dijangka dapat memberi peluang pekerjaan kepada 800 orang penduduk. Namun dalam keghairahan menikmati jumlah pelaburan yang besar, kita seolah-olah lupa kesan daripada pembinaan kilang tersebut terhadap alam sekitar dan masyarakat.



Setelah upacara pecah tanah tersebut dijalankan, terdapat beberapa pihak yang telah menyuarakan kebimbangan terhadap impak yang akan menyusul kelak, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), SM Mohamed Idris merupakan antara yang terawal. Beliau menyatakan kebimbangan sekiranya pembinaan tersebut diteruskan, kesan yang amat negatif terpaksa ditanggung oleh masyarakat, terutamanya dari segi persaingan sumber air antara kilang dengan penduduk (ibnuabas. blogspot).

Beberapa contoh boleh diambil untuk dijadikan ikhtibar, antaranya di India. Pembinaan kilang Coke secara besar-besar telah membawa padah apabila masyarakat terpaksa menanggung krisis air yang besar dan pencemaran tanah yang teruk, masalah ini telah memaksa demontrasi secara besar-besaran dibuat di Kala Dera, Rajashtan bagi memaksa penutupan kilang Coca-cola di India.



Beberapa kajian (indiaresource.org) yang telah dijalankan di India mendapati kilang Coca-cola di sana telah mengambil air bawah tanah sebagai sumber air. Kesan daripada penggalian bawah tanah telah membawa kepada perubahan kualiti air dari segi rasa dan bau. Akibatnya penduduk tidak dapat menggunakan air perigi kerana turut tercemar dan kekeringan akibat pengepaman dari kilang dalam kuantiti yang banyak. Selain itu, tanah di sekitar kilang turut dicemari oleh sisa buangan yang merbahaya. Ujian makmal mendapati kilang Coca-cola telah menghasilkan bahan buangan yang terdiri daripada Kadmium @ Cadmium (Cd). Kadmium merupakan salah satu logam berat yang turut wujud dalam bateri. Kehadiran kadmium pada permukaan tanah akan mengakibatkan keracunan pada sumber tersebut di samping kemusnahan tanaman dan hidupan sekitar. Kehadiran kadmium dalam badan pula boleh merosakkan pembuluh darah dan perangsang sel kanser (CAP).

Melihat situasi di India cukup membawa kegusaran, saya khuatir sekiranya pembinaan kilang Coca-cola di Nilai siap kelak, penduduk di sana akan mengalami nasib yang sama seperti di India. Malaysia merupakan antara negara yang mempunyai bekalan air bawah tanah yang banyak, penggunaan air secara besar-besar akan membawa kesan buruk terhadap struktur tanah. Kota Semarang, Indonesia misalnya telah mengalami pemendapan yang agak serius ekoran pengepaman air bawah tanah secara berterusan (konsumerkini.net). Sumber air bawah tanah kelak bukan sahaja akan berkurangan malah akan turut mengalami perubahan dari segi kualiti.



Pembuangan kadmium dari kilang pula sudah pasti akan membawa kesan yang amat buruk kepada penduduk Nilai, biarpun pihak kilang akan menjaminkan pengurusan secara sistematik, tapi sejauh mana akan bertahan. Pengalaman pengurusan Coca-cola di Pakistan, Turki, China, Afrika Selatan, Columbia, dan Guatemala sudah cukup untuk menggambarkan situasi sebenar. Biarpun Nilai bukanlah satu kawasan pertanian, namun kehadiran logam berat seperti cadmium amat merbahaya dan perlu dijauhi bagi mengelak masyarakat sekeliling daripada terdedah dengan sebarang pencemaran.

*penulisan ini dihasilkan berdasarkan pemerhatian dari kaca mata seorang ahli geografi dan bermotifkan pendidikan, tiada sebarang kepentingan politik.