Rabu, 26 Disember 2012

Rahsia Alam : Buah Berbulu

Dunia ini penuh dengan keajaiban dan setiap perkara ajaib sering dilihat pelik oleh majoriti manusia.

Entah bagaimana dan kenapa, sebuah pokok bunga loceng di rumah saya yang ditanam oleh ayah telah mengeluarkan buah seakan rambutan. Bersaiz sederhana, berbulu, dan berwarna hijau muda. Asalnya kecil sebelum membesar seperti buah rambutan yang tidak masak.

Perkara ini menarik perhatian ramai orang setelah tersiar dalam Sinar Harian (2007) dan dikhabarkan ratusan orang telah datang ke rumah untuk melihat buah bunga loceng itu. Saya yang ketika itu berada di perantauan kerana menimba ilmu hanya dimaklumkan oleh emak melalui telefon.


Ramailah yang menyentuh dan mengesahkan itu adalah buah rambutan, lalu mengaitkan dengan pelbagai perkara dan teori. Saat saya pulang ke kampung, buah ‘rambutan’ tersebut sudah berwarna keperangan, kemudian menjadi coklat, dan akhirnya kering sebelum gugur ke tanah.

Hakikatnya, itu bukan buah rambutan. Cuma kebetulan pokok bunga loceng mengeluarkan buah, dan kebetulan lagi buah itu berbulu seperti buah rambutan. Apa pun saya tetap rasa bertuah kerana keluarga saya pernah memiliki sebahagian keajaiban alam semula jadi.

Beberapa hari kemudian ada yang bertanya kepada ayah sama ada masih disimpan buah yang kering itu, kononnya hendak dijadikan pelaris. Astaga.

Selasa, 11 Disember 2012

Kembara Amanah - Siri 1


Suasana subuh di kaki pergunungan Skurmum memang mengasikkan. Suhu yang sejuk ditambah dengan kabus yang masih lagi menyelimuti alam begitu mendamaikan. Kehijauan hutan saujana mata memandang malah dapat mengubati penyakit mata yang tidak kronikal.

Sesudah menunaikan solat Subuh, aku berzikir seketika sambil anak mataku liar memerhati keadaan sekeliling yang indah ciptaan Allah.

“Afik! Ini amanatku terhadapmu.” Tiba-tiba suara yang suatu ketika dahulu pernah berbicara, menerjah masuk ke dalam memori.

“Tapi guru, kenapa aku?” sebagai seorang anak murid aku tidak sepatutnya membantah perintah guruku tapi kali ini suruhannya agak memusykilkan dan di luar kemampuanku. Aku seorang penuntut peringkat akhir bawahan telah diperintahkan untuk menjalankan suatu misi. Misi yang cukup berbahaya.

“Menurut firasatku, kau adalah yang paling layak dan berkebolehan.”

“Firasat?” Aku tidak bersetuju. Adakah hanya mendengar firasat sudah cukup untuk mentauliahkan aku ke jurang maut?

“Kau takut?”

“Tidak!” Jawabku pantas. Aku memandang tepat mata guruku yang duduk di atas mimbar. Cis! Aku telah terperangkap oleh kata-kataku sendiri. Keterlajuran kata-kataku hanya memusnahkan diri.

“Jadi, apa yang kau tunggu lagi?”

Tiba-tiba khayalanku terhenti apabila seekor enggang terbang rendah, menjerit kerinangan. Aku menyimpan tasbih yang sejak tadi terus berjalan di jejariku. Semua barang-barang ku galas kembali.
Pedang yang terpacak tidak jauh dari tempat solatku tadi kucabut. Dengan kemas pedang itu kusisipkan ke pinggang. 

Bismillahirohmanirrohim!” Aku terus mengatur langkah.

Tidak lama lagi aku akan memasuki ruang gurun, zon yang menjadi destinasiku. Sambil mengatur langkah aku kembali mengingati segala amanat guruku.

“Kau pergi ke arah matahari terbit. Kau akan menghadapi tujuh dugaan nyata dan tujuh dugaan ghaib. Selepas enam unggun api kau akan menemui pasir. Di pasir itu kau akan menemui batu. Itu pun setelah kau berjaya melepasi dugaan ghaib yang terakhir. Di sana nanti kau akan dijarakkan oleh air api. Kau mesti memasuki batu itu dan meletakkan kitab hikmat ini di situ”.

“Di situ? Aku kehairanan.

“Di mana?”

“Kau akan mengetahuinya kelak.”

“Ingat! Pergunakan ilmu yang telah kau tuntut di sini sepenuhnya.”

Aku berhenti seketika. Peluh yang mengalir di dahiku kusapu dengan tangan. Memang kata-kata guruku penuh dengan muslihat, sehingga aku sendiri kurang faham. Tapi kini aku rasa aku sudah mula memahaminya.

Memang benar aku telah berdepan dengan dugaan, sehingga kini jika tidak salah tafsiranku, enam dugaan nyata dan enam dugaan ghaib telah kutempuhi.

Tiba-tiba firasatku memberitahu sesuatu. Tanganku lantas memegang erat pedang yang tersisip di pinggang. Mataku memerhati keadaan sekeliling. Normal. Tidak! Normal. Tidak! Hati dan firasatku seakan bertempur.

Tiba-tiba satu kejutan cahaya bertukar menjadi seekor harimau sebesar gajah berlalu pantas di hadapan mataku.


Subhanallah!” Aku melepaskan segala ketakjuban dan menghunus pedang ke arah makhluk itu. 
 Mungkin ghaib, aku tidak dapat menduga kerana ia hilang begitu saja.

Aku meraba pakaianku. Ternyata kitab itu masih ada tersimpan lagi. Harimau di hadapanku terlalu besar untuk seorang manusia. Penuntut senior sekalipun tidak mungkin dapat mengalahkan harimau ini. Inikan aku.

Harimau itu terus menerkam ke arahku setelah melepaskan ngauman yang amat kuat. Dengan sepenuh tenaga aku melompat bagi mengelakkan terkamannya. Dengan pantas kepala harimau itu kutetak.

Satu jeritan panjang disusuli dengan percikan api berlaku di hadapan mata. Pedangku patah.
Aku tercengang. Harimau itu bagaikan berkulit waja. Mataku melirik pada pedang yang patah di tanganku. Harimau itu mengaum kembali. Matanya memandang tepat ke arahku dengan pandangan yang penuh hasad.

Aku seperti dipukau, membiarkan harimau itu menerkam tanpa bertindak. Kakiku bagaikan dipegang oleh tangan ghaib.

Tujuh ayat pemusnah iblis segera kubaca. Tiba-tiba satu tendangan ghaib hingga di dadaku. Aku melontar jauh dari harimau tadi.

“Allah!...” Dadaku terasa sakit. Kugagahi diriku untuk bangun. Tanganku merab-raba pakaianku. Kitab sakti itu masih tersimpan. Pakaianku lusuh dan kotor setelah puas mengharungi rimba khatulistiwa. Aku bersila sambil bertafakur. Kedua belah telapak tangan kugenggam untuk memusatkan kembali tenaga yang sudah hilang tadi.

bersambung…

* Cereka di atas dipetik daripada novel bertajuk Sebuah Citra karya Jaafar Darwis, terbitan Kharisma Publications Sdn. Bhd. (1995).