Selepas berlakunya peristiwa 11 September 2001 di Amerika
Syarikat, perkataan “konspirasi” semakin hangat diperkatakan. Di negara ini,
istilah konspirasi dipopularkan oleh penulis blog yang mendedahkan perancangan
kelompok-kelompok sulit yang ada di seluruh dunia termasuk Malaysia.
Antara konspirasi yang kerap diperkatakan ialah “Kawalan
Cuaca” dan dikaitkan dengan teknologi yang dimiliki tentera Amerika. Teknologi
ini dikenali sebagai HAARP ( High Frequency Active Auroral Research Program )
yang berupaya mempengaruhi gelombang elektromagnet bumi yang kemudian
menghasilkan kekacauan cuaca. Contohnya gempa bumi, dengan memilih lokasi
tertentu HAARP akan memancarkan gelombang pada frekuensi tertentu dan gempa
bumi akan terhasil di tempat yang dipilih. Dalam erti kata lain, HAARP boleh
menjadi suatu senjata berbahaya dengan memanipulasi alam.
Secara asasnya usaha mengawal cuaca merupakan suatu perkara
yang tidak asing lagi dalam dunia meteorologi. Contohnya pembenihan awan untuk
mendapatkan hujan. Kaedah pembenihan awan biasanya dibuat menggunakan kapal
terbang seperti negara kita, di negara China mereka menggunakan roket.
Idea kawalan cuaca sebenarnya telah wujud sejak tahun 1954
lagi. Dalam majalah Coolier’s pada 24 Mei ada mengutarakan isu mengenai
keupayaan manusia (USA) untuk mengawal cuaca. Turut dipetik kata-kata Kapten
H.T. Orville mengenai laporan stesen kawalan cuaca di Texas berkenaan fenomena
pembentukan awan yang akan membentuk tornado yang menghala ke arah Waco. Pusat
Kawalan Cuaca yang dimaklumkan kemudiannya menghantar sebuah pesawat untuk
melenyapkan awan. Kurang dari sejam selepas itu, serangan taufan berjaya
dihalang dan tiada nyawa atau kerosakan harta benda berlaku.
Sumber: http://blogs.smithsonianmag.com/paleofuture/
Ironinya hingga awal abad 21, Amerika Syarikat menerima
ribuan serangan taufan dan telah merosakkan harta benda hingga membawa kerugian berbillion dollar. Kejadian serangan taufan Sandy di New York dikatakan telah memberi
peluang kepada kempen Presiden Barack Obama hingga membawa kepada kemenangan
pilihan raya presiden untuk penggal kedua.
Pada tahun akhir pengajian di universiti, saya mengambil
kesempatan untuk bertanyakan soalan kepada pensyarah tentang kemungkinan
wujudnya teknologi kawalan cuaca yang hebat seperti HAARP. Beliau berpendapat
ia suatu yang sukar. Untuk memindahkan hujan contohnya dari titik A ke titik B
dilihat mustahil. Malah mungkin manusia tidak akan memilikinya. Namun beliau
tidak menolak wujudnya usaha beberapa pihak ke arah itu, kerana imaginasi
manusia begitu tinggi dan ada segelintir cuba merealisasikannya.