Selasa, 22 Disember 2009

Presenteeism: Masalah Setiap Pekerja

Presenteeism merupakan suatu istilah yang masih baharu dalam perbendaharaan kata Bahasa Inggeris, mahupun Bahasa Melayu. Norman Clemens dari American Psychiatric Association menyatakan presenteeism adalah istilah baru untuk masalah lama. Secara mudah presenteeism bermaksud masalah kesihatan yang melanda para pekerja di tempat kerja.

Dewasa ini presenteeism sedang berkembang sabagai suatu masalah yang semakin serius terutamanya dalam dunia perniagaan. Menurut wartawan Canadian HR pada 2 Disember 2002, presenteeism telah memberi masalah kepada kualiti kerja dan kesihatan para pekerja. Secara jelas, presenteeism bermaksud kehadiran pekerja dalam keadaan tidak sihat atau belum bersedia dengan sepenuhnya hingga tidak dapat memberi produktiviti yang diharapkan. Atau dalam kata lain, hadir tapi tidak membawa manafaat. Selagi bergelar pekerja, kita tidak terlepas daripada masalah ini.
Masalah presenteeism berlaku kerana beberapa perkara hingga memberi kesan buruk terhadap kesihatan pekerja, sama ada sama ada kesihatan fizikal mahupun mental.
Antara penyakit yang merujuk kepada presenteeism adalah: alahan, arthritis, asma, kanser, diabetes, migraine, penyakit jantung, dan sebagainya.
Petanda presenteeism: kejenuhan (tidak bermaya), murung, sakit pada bahagian belakang dan leher serta kepenatan.

Pekerja menjadi tidak bermaya boleh dikatakan berpunca daripada persekitaran seperti ketiadaan sokongan daripada rakan sekerja, tiada pengikhtirafan daripada majikan serta kurang latihan. Selain itu, gangguan terhadap tugas, perbualan daripada rakan sekerja, kerosakan peralatan boleh menyebabkan mempunyai perasaan tidak puas hati dan tidak bersemangat untuk berkerja.

Kemurungan yang kronik boleh menjadi penyebab kepada penurunan produktiviti. Kehadiran pekerja walaupun sakit sebenarnya terpaksa kerana terdapat sesetengah majikan yang tidak membayar gaji pada hari mereka sakit atau cuti ekoran terdapat sesetengah pekerja yang mengambil kesempatan. Akibatnya pekerja yang berada dalam keadaan sebenar menghadapi masalah. Sekiranya mereka tidak hadir, gaji mereka mungkin tidak akan dibayar pada hari tersebut dan jika berlarutan terlalu lama, mereka mungkin akan hilang pekerjaan. Jadi, mereka terpaksa hadir dan situasi seumpama inilah yang menyumbang kepada fenomena presenteeism.


Kesan daripada presenteeism ini sebenarnya sangat besar kerana melibatkan penggunaan wang dalam kuantiti yang banyak. Malah kesan daripada presenteeism ini lebih teruk daripada masalah ketidakhadiran atau ponteng di tempat kerja, anggaran yang diperolehi menunjukkan kos yang melibatkan presenteeism tujuh hingga sepuluh kali lebih besar berbanding kerugian akibat ketidakhadiran pekerja. Nilai ini bersamaan 150 hingga 250 billion dollar setiap tahun di Amerika Syariakat.

Fenomena yang berkaitan dengan presenteeism ini boleh diatasi sekiranya pihak majikan betul-betul ingin menanganinya. Secara fitrahnya setiap manusia mempunyai keinginan dan akan berusaha untuk mencapai keinginan tersebut. Begitu juga pekerja, setiap dari mereka inginkan sesuatu dari pekerjaan mereka. Hal ini dapat dilihat menerusi Teori Maslow yang menyenaraikan lima peringkat keperluan manusia. Dalam konteks pekerjaan, lima peringkat keperluan tersebut adalah gaji (psikologi), rancangan apabila bersara (keselamatan), rakan sekerja (sosial), jawatan (sanjungan), dan cabaran dalam pekerjaan (kehendak diri yang sebenar). Sekiranya majikan dapat memahami segala kehendak ini dan memudahkan peluang untuk para pekerja untuk mencapainya, maka hasil yang positif akan diperolehi.
Ini kerana jika pekerja tidak dapat memenuhi keinginan mereka pada setiap peringkat, maka ini akan mendorong kepada gejala presenteeism yang lebih agresif. Pemahaman majikan terhadap keperluan pekerja akan menjadikan pekerja lebih memahami kehendak syarikat dan mula mematuhi peraturan serta memperbaiki kehadiran.
Majikan perlulah tahu bagaimana untuk menguruskan pekerja mereka agar presenteeism dapat dikurangkan. Salah satu cara untuk menguruskan pekerja adalah dengan membuat program kesihatan di tempat kerja.

Perlaksanaan secara berterusan akan memberi kesan yang positif terhadap produktiviti pekerja. Ini kerana seperti yang sudah dibincangkan sebelum ini, peramasalahan berkenaan dengan presenteeism bermula di tempat kerja, sekirannya dapat ditangani di tempat kerja juga maka masalah ini dapat dikurangkan sekaligus dapat meningkatkan produktiviti mereka. Perlu ditegaskan bahawa majikan merupakan penggerak utama bagi mengatasi masalah ini dan mereka perlu melakukannya, kerana pekerja merupakan aset kepada mereka.

Sumber
Diolah daripada: Eric Saarvala (2006). Presenteeism: The Latest Attack on Economic and Human Productivity: University of Toronto